Sunday, May 11, 2014


Tembikai oh Tembikai

Pada suatu petang yang hening, si suami membeli sebiji buah tembikai susu yang besar dengan warnanya yang kuning-kekuningan. Si suami dan si bapa kepada tiga orang anak ini membawa pulang tembikai susu yang dibelinya tadi dengan penuh kegirangan. Kegirangan untuk menikmati bersama keenakan dan kemanisan buah tembikai susu bersama anak-anak serta isteri tercinta. Setiba di rumah, si suami menyerahkan tembikai susu tadi kepada si isteri dan meminta si isteri untuk membelah, menjurai serta menghidangkannya untuk dinikmati bersama si anak-anak. Si bapa tenang menunggu si isteri yang masih sibuk di dapur.

Selang beberapa minit si ibu keluar sambil membawa sepinggan juraian buah tembikai susu dan meletakkan di atas meja kecil di hadapan suami serta ketiga-tiga anak mereka sambil merungut...

 ”Kenapa tembikai ni tawar bang ? ” ”Abang tak pilih dengan teliti ke ?”

Si suami tersentak dengan kata-kata isterinya itu tadi. Sambil disambut dengan rungutan anak-anak....

”Yalah abah, tak manis langsung ! ”  ”Yang mama beli dulu manis, manis sangat-sangat ! ”

Si suami dan si abah mula bersuara…..memecah kesunyian….

Ibu ingat masa abah beli tadi saya tak pilih ? Abah tak tanya ? Abah tak minta kepastian daripada penjualnya ? ”

“ Ibu ingat penjual tadi tak mahu menjual buah tembikai yang manis kepada abah dan pelanggannya ? ”“ Ibu ingat penjual tadi sengaja menjual tembikai yang tawar kepada abah ?”

“ Masa ibu membelah buah tembikai tadi apakah harapan ibu ? Sudah tentu ibu harapkan buah tembikai yang dijurai itu akan manis dan lazat, bukan ? ”

Suara lantang suami dan si abah itu menyebabkan si isteri dan anak-anaknya terdiam buat seketika. Mereka seolah-olah tersentak….kelu…..kaku dan mulut mereka bagaikan dikunci. Si suami dan juga si abah menghampiri si isteri dan anak-anaknya sambil tersenyum sinis sambil bersuara.

Abah tak marah sebenarnya. Ingatlah, wahai isteri serta anak-anakku….. kita tidak seharusnya selalu merungut tentang sesuatu yang berlaku. Sesuatu yang tidak seperti kita ingini. Kita selalu mengecam dan mencemuh sekiranya sesuatu yang berlaku itu tidak memuaskan hati kita. Apatah lagi apabila sesuatu itu menyakitkan hati kita, kita seringkali meletakkan kesalahan di atas bahu orang lain

Seperti juga tembikai ini. Tembikai susu ! Cuba fikir dengan akal yang waras…adakah orang yang menanamnya tak inginkan buah tembikai susu yang ditanamnya itu manis seperti susu ? Semasa menyemainya pula adakah si penanam tadi meminta dan memohon daripada Tuhan agar tembikai yang ditanamnya itu tawar ?”

“Ingat, percaya serta yakinilah…sesuatu yang berlaku itu adalah kehendak dan ketentuan Tuhan. Semua yang terjadi dan berlaku atas izin Tuhan dan pastinya mempunyai hikmah yang tersendiri. Hanya DIA yang maha mengetahui. Kita hanya mampu merancang dan Tuhan yang menentukannya ”“Jadi isteri dan anakku yang tercinta….terimalah seadanya. Jangan merungut dan mengeluh. Jangan sesekali mencemuh dan mengeji…. Makanlah tembikai itu seandanya. Setidakpun tinggalkan tembikai itu sekiranya tidak berselera untuk menikmatinya. Tetapi jangan sesekali merungut, mencemuh dan mengecamnya KEHENDAKNYA. Kita seharusnya belajar untuk BERSYUKUR dan menerima segala SURATAN dengan penuh KESYUKURAN  !”

No comments:

Post a Comment