Tembikai oh Tembikai
Pada suatu petang yang
hening, si suami membeli sebiji buah tembikai susu yang besar dengan warnanya
yang kuning-kekuningan. Si suami dan si bapa kepada tiga orang anak ini membawa
pulang tembikai susu yang dibelinya tadi dengan penuh kegirangan. Kegirangan
untuk menikmati bersama keenakan dan kemanisan buah tembikai susu bersama
anak-anak serta isteri tercinta. Setiba di rumah, si suami menyerahkan tembikai
susu tadi kepada si isteri dan meminta si isteri untuk membelah, menjurai serta
menghidangkannya untuk dinikmati bersama si anak-anak. Si bapa tenang menunggu
si isteri yang masih sibuk di dapur.
Selang beberapa minit si
ibu keluar sambil membawa sepinggan juraian buah tembikai susu dan meletakkan
di atas meja kecil di hadapan suami serta ketiga-tiga anak mereka sambil
merungut...
”Kenapa
tembikai ni tawar bang ? ” ”Abang tak pilih dengan teliti ke ?”
Si suami tersentak dengan kata-kata isterinya itu
tadi. Sambil disambut dengan rungutan anak-anak....
”Yalah abah, tak manis langsung ! ”
”Yang mama beli dulu manis,
manis sangat-sangat ! ”
Si suami dan si abah mula bersuara…..memecah
kesunyian….
“ Ibu ingat masa abah beli tadi saya tak
pilih ? Abah tak tanya ? Abah tak minta kepastian daripada penjualnya ? ”
“ Ibu ingat penjual tadi tak mahu menjual buah tembikai yang manis kepada
abah dan pelanggannya ? ”“ Ibu ingat penjual tadi sengaja menjual tembikai yang
tawar kepada abah ?”
“ Masa ibu membelah buah tembikai tadi apakah
harapan ibu ? Sudah tentu ibu harapkan buah tembikai yang dijurai itu akan
manis dan lazat, bukan ? ”
Suara lantang suami dan
si abah itu menyebabkan si isteri dan anak-anaknya terdiam buat seketika.
Mereka seolah-olah tersentak….kelu…..kaku dan mulut mereka bagaikan dikunci. Si
suami dan juga si abah menghampiri si isteri dan anak-anaknya sambil tersenyum
sinis sambil bersuara.
“Abah tak marah
sebenarnya. Ingatlah, wahai isteri
serta anak-anakku….. kita tidak seharusnya selalu merungut tentang sesuatu yang
berlaku. Sesuatu yang tidak seperti kita ingini. Kita selalu mengecam dan
mencemuh sekiranya sesuatu yang berlaku itu tidak memuaskan hati kita. Apatah
lagi apabila sesuatu itu menyakitkan hati kita, kita seringkali meletakkan
kesalahan di atas bahu orang lain ”
“Seperti juga tembikai
ini. Tembikai susu ! Cuba fikir dengan akal yang waras…adakah orang yang
menanamnya tak inginkan buah tembikai susu yang ditanamnya itu manis seperti
susu ? Semasa menyemainya pula adakah si penanam tadi meminta dan memohon
daripada Tuhan agar tembikai yang ditanamnya itu tawar ?”
“Ingat, percaya serta yakinilah…sesuatu yang berlaku itu adalah kehendak
dan ketentuan Tuhan. Semua yang terjadi dan berlaku atas izin Tuhan dan
pastinya mempunyai hikmah yang tersendiri. Hanya DIA yang maha mengetahui. Kita
hanya mampu merancang dan Tuhan yang menentukannya ”“Jadi isteri dan anakku
yang tercinta….terimalah seadanya. Jangan merungut dan mengeluh. Jangan
sesekali mencemuh dan mengeji…. Makanlah tembikai itu seandanya. Setidakpun
tinggalkan tembikai itu sekiranya tidak berselera untuk menikmatinya. Tetapi
jangan sesekali merungut, mencemuh dan mengecamnya KEHENDAKNYA. Kita seharusnya belajar untuk BERSYUKUR dan menerima segala SURATAN
dengan penuh KESYUKURAN !”