Sunday, May 11, 2014


Tamadun Kuno Muncul Semula



Wahai pembaca yang budiman, percayakah anda satu kumpulan kuno yang tidak bertamadun di Rom pada tahun 445 Masihi muncul kembali di negara kita ? Kumpulan kuno ini ada di mana-mana. Kumpulan kuno yang dimaksudkan ini sanggup melakukan apa-apa sahaja asalkan niat, hasrat mereka tercapai, dipenuhi, dan berpuas hati dengan perkara yang dilakukan tanpa mempedulikan perasaan dan keselamatan orang lain.



Tentu anda tertanya-tanya siapakah anggota kumpulan kuno ini ? Apakah yang telah mereka lakukan ? Apakah aktiviti rutin mereka ?  Sebelum menelanjangkan kumpulan dan akitiviti kumpulan kuno ini. Cuba anda bayangkan pada suatu dinihari yang nian anda dikejutkan dengan bunyi bising yang mengganggu ulitan mimpi anda. Anda menguak dan menyelak dedaun tingkap sambil melemparkan pandangan anda keluar.  Pandangan anda terpaku…… api yang marak sedang rakus menjilat sesuatu. Anda bergegas dan sepantas lipas kudung anda menghala ke tempat kejadian. Sepantas kilat memancar jugalah anda meluru ke pondok telefon untuk membuat panggilan kecemasan. Anda tergamam dan terpinga-pinga kerana gagal mencari pondok telefon yang dimaksudkan.



Ternyata anda kebingungan, bermimpikah anda ? Anda menggosok-gosok mata dan menoleh ke belakang, barulah anda menyedari hakikat yang hakiki bahawa api yang sedang marak dan menjulang-julang itu sebenarnya sedang menjilat rakus pondok telefon yang anda cari.



Tamadun Kuno @ Vandalisme ! Pondok dan gagang telefon, perhentian bas, tandas awam, papan tanda, pangkin taman permainan untuk keselesaan awam menjadi “punching bag” kepada kumpulan kuno ini. Amalan kuno ini semakin hari semakin rakus dan merencatkan nilai-nilai Ketimuran masyarakat kita. Tidak dinafikan bahawa aktiviti kumpulan kuno ini juga telah menebarkan sayapnya ke institusi pendidikan. Sekolah umpamanya menjadi tempat kepada golongan ”pelapis” kumpulan kuno ini bertapak. Kumpulan kuno pelapis dalam kalangan pelajar sekolah ini umpama api dalam sekam yang amat berbahaya. Umpama bom jangka yang akan meletup pada bila-bila masa.



Pintu tandas bergentayangan, cermin-cermin disompekkan, kepala pili dikepak, dinding tandas dan laluan pejalan kaki dimuralkan, permukaan meja dikiaskan dengan frasa-frasa yang menjijikan, pemegang tangga dibesiburukkan, suis dan soket diburaikan, tumbuhan hiasan dibungkalkan. Sebutlah apa-apa sahaja, simbol-simbol amalan kuno ini nescaya ditemui. Bilakah semua ini akan bernokhtah ?



Wahai warga Batu Four, ayuh kita kikiskan kesan-kesan penyebaran dan penularan amalan kuno ini. Buktikan bahawa warga Batu Four bebas daripada wabak penyakit kuno ini. Buktikan bahawa kita warga yang bertamadun, warga yang bebas daripada cengkaman virus kuno – vandalisme !



Wie.sukhihotu14

No comments:

Post a Comment